BOLEHKAH WANITA MUSLIM MEMPERLIHATKAN AURATNYA KEPADA WANITA KAFIR?

Bookmark and Share



Bismillah,
Sebahagian Ulama berpendapat bahawa seseorang wanita muslimah tidak boleh memperlihatkan auratnya (tidak boleh membuka hijab/tudungnya) kepada wanita kafir. Perkara ini dilarang adalah kerana ditakuti wanita kafir tersebut akan menceritakan berkenaan wanita muslimah tersebut kepada kaum lelaki yang lain.

Sebelum itu, dijelaskan secara ringkas:
Seseorang wanita tidak boleh melihat bahagian (badan) di antara pusat dan lutut dari wanita yang lainnya, iaitu sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan muslimah. (Rujuk: al-Mughni, 5/562, Ibnu Qudamah)

Ibnul Jauzi rahimahullah berkata:
“Wanita-wanita yang jahil (yang tidak mengerti) secara umumnya tidak merasa segan membuka auratnya atau sebahagian auratnya padahal ibnunya ada di hadapannya atau saudara perempuannya, atau juga anak wanitanya, lalu dia berkata, “Mereka adalah kerabat”. Maka hendaklah seseorang wanita tahu bahawa jika ia telah mencapai umur tujuh tahun, maka ibu, atau saudara perempuan atau anak saudara perempuannya tidak boleh melihat auratnya (aurat berat).” (Rujuk: Ahkaamin Nisaa’, 76, Ibnul Jauzi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda :
“Janganlah seseorang pemuda (lelaki) melihat aurat lelaki yang lainnya, dan jangan pula seseorang wanita melihat aurat wanita yang lainnya, janganlah seseorang lelaki bersama-sama dengan lelaki lainnya di dalam satu kain. Dan janganlah seseorang seseorang wanita bersama-sama dengan wanita lainnya di dalam satu kain...” (Hadis Riwayat Muslim, no. 338)

Pendapat Yang Melarang :

Dalam persoalan ini (wanita membuka aurat/hijab di hadapan wanita kafir) Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan,

“Firman Allah, “أَوْ نِسَائِهِنَّ” (bermaksud atau wanita-wanita Islam) , daripada ayat asalnya :

“Hendaklah mereka (wanita yang beriman) menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya (aurat), melainkan yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan auratnya melainkan kepada suami mereka, atau ayah mereka (dan seterusnya)... atau wanita Islam (“أَوْ نِسَائِهِنَّ”), atau hamba-hamba yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan terhadap wanita.” (Surah an-Nuur, 24: 31))

Maksudnya mereka boleh menampakkan auratnya (boleh membuka hijab/tudungnya) di hadapan para wanita Muslim, tetapi tidak di hadapan wanita-wanita kafir. Alasan kepada larangan ini adalah supaya mereka (wanita kafir tadi) tidak menceritakan k...epada suami mereka (atau lelaki yang lainnya – pen.) berkenaan wanita muslim tersebut. Walaupun kemungkinan ini boleh terjadi kepada wanita-wanita muslim yang lain, namun kebimbangan terhadap wanita-wanita kafir adalah lebih besar lagi, kerana mereka tidak memiliki perundangan (hukum) yang melarang untuk menceritakan rahsia wanita lain kepada suami mereka (atau lelaki lainnya). Berlainan halnya dengan wanita muslimah, mereka lebih memahami bahawa membicarakan soal tubuh atau rahsia wanita yang lain kepada suaminya sendiri adalah suatu perkara yang diharamkan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda (maksudnya),

“Seseorang wanita tidak boleh melihat tubuh wanita lain, kerana dia akan menceritakan (keindahan) wanita tersebut kepada suaminya, di mana nanti seolah-olah suaminya dapat membayangkan tubuh wanita yang diceritakan itu secara langsung (jelas).” (Hadis Dari Ibnu Mas’oud, Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Lihat: Fathul Bari, 9/250, no. 5241)” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir di bawah perbahasan ayat 31 Surah an-Nuur)

Pendapat Yang Membolehkan :

Manakala terdapat sebahagian pandangan daripada kalangan ulama yang lain bahawa perkara tersebut dibolehkan. Mereka menjelaskan bahawa:

Tidak ada perbedaan di antara wanita muslimah dan kafir dalam persoalan ini (melihat aurat wanita lainnya). Mereka berhujjah dengan dalil bahawa kaum wanita dari kalangan Yahudi datang kepada isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam, dan mereka sama sekali tidak memakai hijab (bertudung atau menutup aurat sepenuhnya) juga tidak ada perintah untuk memakainya. Begitu juga pernah datang seorang wanita Yahudi kepada ‘Aisyah bertanyakan persoalan tentang siksa kubur... (dan seterusnya). (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1372, dan Muslim, no. 903)

Asma’ binti Abu Bakar berkata:
“Ibuku datang kepadaku dan dia enggan untuk masuk Islam. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Salam, “Adakah aku boleh menjalinkan silaturrahmi dengannya?” Beliau menjawab, “Ya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2620)

Diwajibkan berhijab bagi wanita di hadapan kaum lelaki (yang bukan mahram) adalah kerana atas adanya alasan tertentu yang sangat penting. Maka, dengan sebab itulah mengapa wanita diwajibkan menutup aurat di hadapan lelaki yang bukan mahram. Namun, tidak pula terdapat alasan untuk turut berhijab di hadapan wanita kafir Dzimmi (kaum kafir yang menetap di dalam wilayah/negara Islam dan membayar jizyah). Begitu juga kepada lelaki muslim tidak diwajibkan untuk menutup aurat di hadapan lelaki kafir Dzimmi. Begitu juga tidak adanya sebab supaya untuk menutupi aurat (berhijab) bagi seseorang wanita muslimah di hadapan wanita muslimah yang lainnya.

Adapun berkenaan Firman Allah, “أَوْ نِسَائِهِنَّ” kemungkinan boleh juga membawa maksud “wanita secara umum”. Wallahu a’lam. (Lihat Ahkaamin Nisaa’, 4/498, Ibnul Jauzi)

Manakala menurut Syaikh Abu Malik Kamal:
“Sekiranya terjadi keraguan dari salah seorang wanita Kitabiyyah, dan diketahui bahawa ia sering menceritakan perihal wanita lainnya kepada suaminya atau yang seumpamanya, maka atas sebab tersebut, wanita muslimah adalah dilarang untuk menampakkan perhiasannya (aurat/membuka hijabnya) di hadapan wanita tersebut.” (Lihat: Ensiklopedi Fiqh Wanita, 2/163, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)
Wallahu a’lam.

 


Sumber: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/12/143-bolehkah-seseorang-wanita-muslimah.html

{ 0 comments... Views All / Send Comment! }

Post a Comment